Saturday, December 13, 2008

Hari Pertama Bergelar Pelajar OUM

Hari ini bersamaan dengan 13 Disember 2008 aku telah mengikuti tutorial pertama sebagai seorang pelajar OUM Kohot 5 (September 2008 Intake) berpusat di Institut Perguruan Teknik, KL. Kami seramai 400 lebih (tak ingat jumlah sebenar) dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan setiap kumpulan terdiri daripada lebih kurang 30 orang.

Semester ini kursus kami adalah Etika Profesional dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Aku berjumpa semula dengan mentorku semasa KSPK 2007. Tidak aku nafikan, TMK (ICT) merupakan satu bidang yang amat mencabar bagi diriku kerana daripada seorang individu yang buta IT kepada celik IT. Walaupun aku telah mengikuti KSPK setahun dalam IT namun aku masih perlu meningkatkan ilmu IT.

Bagi semester pendek ini, kami perlu menghadiri kelas pada tiga Sabtu berturut-turut dan menduduki exam pada 10 Januari 2009.

Mengejar Segulung Ijazah

Pada 21 Julai hingga 24 Oktober 2008 baru-baru ini aku telah mengikuti KDP 14M OUM di Institut Bahasa Melayu Malaysia di KL. Kursus ini merupakan langkah pertamaku untuk mendapatkan segulung ijazah. Kursus 14 minggu tersebut memang padat. Tujuh modul perlu dipelajari. Aku telah mencuba sedaya upayaku. Alhamdulillah, aku telah mendapat result yang memuaskan. Insyallah, aku akan cuba kekalkan dan akan cuba memperbaiki resultku. Memang betul kata lecturers dan coursemates, dugaan dan cabaran memang banyak. Kita perlu bersikap positif dengan apa yang kita lakukan.

Thursday, December 4, 2008

Perjalanan Karierku

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di IP Sarawak, sekolah pertamaku ialah SK Sungai Passin yang terletak di Sibu, kampung halamanku. Aku melapor diri untuk bertugas sebagai pendidik buat pertama kalinya bagi sesi persekolahan Disember 1993 (sebenarnya sebelum masuk maktab aku sempat menjadi guru sandaran untuk sebulan je...). Untuk sampai di situ aku perlu menaiki bot ekspress selama tiga jam. Sekolahnya terletak di tepi sungai dengan majoriti penduduknya adalah kaum Iban. Ketika itu kami hanya mengharapkan air hujan sebagai minuman dan bergantung kepada generator pada waktu malam (kemudahan asas belum ada ketika itu). Aku mengajar kelas prasekolah. Pada peringkat awal memang pening kepala kerana kali pertama nak handle kanak-kanak. Namun aku gagahi jua dan alhamdulillah aku berjaya mengatasi masalahku. Aku menabur jasaku di SK Sg. Passin sehinggalah ke penghujung tahun 1996. Aku berpindah kerana telah mendirikan rumahtangga pada 26 Mei 1995.

Sekolah keduaku pula adalah sekolahku semasa sekolah rendah dahulu iaitu SK Abang Ali yang terletak bandar Sibu. SK Abang Ali merupakan sekolah yang tertua di Sibu. Di situ aku juga mengajar kelas prasekolah. Aku mengajar di SK Abang Ali dari Januari 1996 sehingga Disember 2001. Kali alasanku untuk posting kerana mengikut suamiku yang bertugas di Sungai Buloh, Selangor.

Januari 2002 aku melapor diri di SK Bandar Baru Sungai Buloh. Di situ tiada prasekolah maka aku ditugaskan untuk mengajar Tahun 1. Aku merupakan salah seorang guru ETeMs ambilan pertama untuk mengajar subjek Sains Tahun 1 pada tahun 2003.

Wednesday, December 3, 2008

Permulaan Karierku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Karier sebagai seorang pendidik telah aku ceburi sejak Disember 1993. Mengikuti kursus perguruan di Institut Perguruan Sarawak, Miri, Sarawak (1991-1993) dalam opsyen Pendidikan Awal Kanak-kanak (major) dan Pengajian Melayu (minor). Mentor aku ketika itu masihku ingat lagi iaitu Puan Tumerah yang begitu mengambil berat dan sentiasa memberi kata-kata perangsang kepada mentee-menteenya. Maklumlah kami merupakan batch yang pertama opsyen Pendidikan Awal Kanak-kanak. Ketika itu opsyen PAK dipandang rendah oleh rakan-rakan guru pelatih yang lain. Namun alhamdulillah, sedikit demi sedikit, lama kelamaan, kami semakin diterima dan tiada lagi jurang antara kami dengan rakan-rakan guru pelatih yang lain. (Kepada rakan-rakan L91 yang membaca blogku ini, diharap dapat menghubungi aku).